Pengenalan
PEMERKASAAN ADIWANGSA
ADIWANGSA, dari Bahasa sanskrit membawa maksud bangsa mulia. Ia juga memberi makna bangsa yang baik, terpilih dan tinggi. Apa pun makna yang diletakkan, Adiwangsa memberi konotasi yang baik. Tentunya gelaran ini sangat sesuai bagi sebuah institusi pendidikan tinggi bumiputera yang terbesar dalam negara ini. Perkataan adiwangsa [a.di.wang.sa] | اديواڠسا dalam konteks UiTM didefinisikan sebagai “bangsa utama (mulia)” (Kamus Dewan Edisi Keempat) yang juga selari dengan Firman Allah dalam Surah Al-Isra ayat 70 yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam, dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut, dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”
Mesyuarat Majlis Eksekutif Universiti Bil. 06/2024 pada 28 Februari 2024 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti ke-195 pada 1 Mac 2024 telah meluluskan cadangan penggabungan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM), Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Bahagian Hal Ehwal Islam (BHEI) dan Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) yang diketuai oleh Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa) berkuat kuasa mulai 1 April 2024. Seterusnya, carta organisasi Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa telah diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Eksekutif Universiti Bil. 17/2024 pada 10 April 2024.
Objektif
- Memperkukuh pemikiran, kelestarian, dan jati diri warga UiTM berpaksikan Melayu, Islam, dan Raja-Raja.
- Meningkatkan kesedaran, kefahaman, dan penghayatan warga UiTM terhadap Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.
- Meningkatkan kesejahteraan warga UiTM menerusi penghayatan terhadap nilai-nilai keagamaan dan kerohanian.
- Meningkatkan kesejahteraan dan kemampanan kewangan universiti menerusi Zakat, Sedekah dan Wakaf.
Fungsi
Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa berperanan untuk melaksana agenda UiTM yang berpasak kepada Royal, Religion, Race (3R):
- Memperkukuh hubungan dengan Raja-Raja Melayu bagi mengekalkan kelestarian UiTM sebagai sebuah institusi yang dimandatkan dengan Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.
- Menyemarak agenda perbincangan berkaitan Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.
- Memperkasa peranan Masjid UiTM dalam membentuk nilai-nilai kerohanian dan kehidupan rohaniah warga universiti.
- Membantu warga UiTM dalam menunaikan kewajipan rukun Islam ketiga serta memperkasakan peranan Zakat, Sedekah dan Wakaf.
- Memperkasa agenda bumiputera UiTM khususnya berkaitan aspek pemikiran dan jati diri.